Blogger Backgrounds

Pages

Sikap Nizar wajar dinilai rakyat: Zambry


KAMPAR: Tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, pada majlis angkat sumpah di Dewan Rakyat, kelmarin wajar dinilai sendiri oleh rakyat Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu adalah satu peratus daripada tingkah laku sebenar yang ditunjuk Mohammad Nizar terutama semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 7 Mei alu.

"Banyak pihak menghubungi saya bertanya dan menyatakan rasa terkejut mereka dengan sikap dan kelakuan (Mohammad) Nizar pada majlis itu dan mahu mengetahui sikap sebenar (Mohammad) Nizar.

"Jawapan saya kepada mereka mudah...Perangai dia (Mohammad Nizar) di Dewan Rakyat itu hanya satu peratus saja, itu pun orang ramai sudah terkejut," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Daerah Kampar, di sini hari ini.

Kelmarin, Mohammad Nizar diarah keluar daripada Dewan Rakyat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, kerana melanggar etika pakaian dengan memakai satu lilitan bertulis "Bubar DUN" pada songkoknya.

Beliau juga melaungkan "Hidup Rakyat, Bubar DUN" (Perak) sebaik mengangkat sumpah dan menandatangani dokumen terbabit.

Zambry berkata, beliau bersimpati dengan pengundi di Bukit Gantang yang menyokong Mohammad Nizar pada pilihan raya kecil 7 April lalu kerana mereka sudah pasti meletakkan harapan agar wakil rakyat mereka melaksanakan tugas sebagai Ahli Parlimen.

"Ini tidak, belum apa-apa lagi selepas menandatangani surat sebagai Ahli Parlimen terus buat perangai...jadi susahlah bagaimana dia nak laksanakan tugas dia sebagai Ahli Parlimen," katanya. - Bernama